Mutiara Kata

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih...

Ya Tuhan,
Jika cinta adalah ketertawanan,
Tawanlah aku dengan cinta kepada-Mu,
Agar tiada lagi yang dapat menawanku...

Ya Tuhan,
Jika rindu adalah rasa sakit,
Yang tidak menemukan muaranya,
Penuhilah rasa sakitku
dengan rindu kepada-Mu,
dan jadikanlah kematianku sebagai muara
pertemuan dengan-Mu....

Ya Tuhan,
Hatiku hanya cukup untuk satu cinta,
Jika aku tidak dapat mengisinya dengan cinta kepada-Mu,
Kemanakah wajahku hendak kusembunyikan dari-Mu..........

Monday, June 11, 2007

Muzik Menurut Islam



Harap boleh dijadikan sebagai panduan......

( Baca full version lebih baik )



Petikan2:


1. Hadith riwayat Abu Umamah, sabda Nabi SAW: “... Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku sebagai rahmat ke seluruh alam dan memerintahkan aku menghapuskan seluruh alat-alat muzik dan serunai.”


2. Dalil Aqli : Alat-alat muzik diharamkan bukan kerana ainnya (zatnya) yang haram, malah hukum haram alat-alat tersebut ditentukan oleh niat dan tujuan ia dimainkan. Ini adalah berdasarkan kaedah Al-Umur bimaqasidiha iaitu sesuatu perkara itu adalah berdasarkan tujuannya (niat).


3. Al-Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Al-Ghazali telah membincangkan permasalahan hukum nyanyian dan muzik dengan panjang lebar dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin dalam juzuk yang kelapan bahagian Al-Adat. Al-Ghazali di dalam perbincangannya telah membahaskan hukum muzik dan alatnya daripada pelbagai sudut sebelum mengeluarkan pandangannya. Beliau tidak hanya berpegang dengan zahir nas malah cuba menggali di sebalik nas, sebab dan ‘illah diharamkan beberapa alat muzik sebagaimana yang disabdakan oleh junjungan besar Nabi SAW dalam hadith-hadith Baginda. Ini bertitik tolak daripada pegangan beliau bahawa nyanyian dan muzik adalah kelazatan-kelazatan dunia yang asalnya adalah halal dan harus. Sebab itulah beliau memasukkan perbincangan beliau tentang hukum hakam nyanyian dan muzik dalam bahagian adat (rub’ul adat). Adat-adat sebagaimana dimaklumi hukum asalnya adalah harus dan halal. (Al-Aslul fil Adat Al-Ibahah – asal di dalam adat adalah harus)


4. Seterusnya ada ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan seluruh alat muzik tanpa ada pengecualian tetapi mereka meletakkan syarat-syarat dan batas-batas penggunaan alat tersebut agar tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT. Mereka yang berpendapat demikian antaranya ialah:

>1. Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim.
>2. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa Baitil Muslim juzuk 4 bab 8 iaitu Babul Lahwi wal La’ab.
>3. Dr. Mohammad Imarah di dalam bukunya Al-Islam wal Funun Al-Jamilah.
>4. Dr. Kaukab ‘Amir dalam bukunya As-Simaa’ ‘Inda As-Sufiyyah.

Pendapat mereka sama dengan pandangan beberapa ulamak terdahulu seperti Ibnu Hazm Al-Andalusi, Ibn Tahir Al-Qaisarani, Abdul Ghani An-Nablusi, Al-Kamal Jaafar Al-Idfawi Asy-Syafie dan Al-Imam Mohd. Asy-Syazili At-Tunisi.


5. Penggunaan alat-alat ini juga mestilah berlegar dala lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ iaitu:

>1. Niat penggunaan alat-alat tersebut dan pendengar iramanya hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-umur Bimaqasidiha.
>2. Tujuan dan suasana digunakan alat-alat tersebut ialah tujuan dan suasana yang baik, mulia dan tidak bertentangan dengan batas-batas syara’.


KESIMPULAN DAN PENDAPAT YANG RAJIH (TERPILIH)

Setelah meneliti perbahasan dan perbincangan para ulamak dan fuqaha’ dahulu dan masa kini, pendapat yang rajih pada pandangan penulis ialah:

1. Alat-alat muzik tidak haram kerana ‘ainnya (zatnya) dan tidak halal kerana ‘ainnya. Tetapi di sana terdapat unsur-unsur luar yang menyebabkan sebahagian alat hukumnya haram sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW di dalam hadith-hadith Baginda. Sebabnya ialah kerana alat-alat yang diharamkan tersebut adalah syiar peminum-peminum arak, lelaki pondan dan golongan fasiq dan maksiat. Yang dimaksudkan dengan syiar ialah alat-alat tersebut tidak digunakan melainkan oleh golongan tersebut sahaja dan digunakan di dalam majlis-majlis mereka sahaja sebagaimana halnya di zaman dahulu. Di zaman tersebut tiadanya media-media seperti televisyen, radio, video, kaset, wayang, satelit dan tiadanya bentuk-bentuk hiburan seperti pementasan, pentomin, drama... dan sebagainya. Di zaman tersebut juga, hiburan seperti nyanyian dan alat-alat muzik hanya boleh didapati di majlis-majlis golongan fasiq, lelaki pondan dan majlis-majlis arak.


2. Irama-irama muzik dari sudut asalnya adalah sama dengan irama-irama yang boleh dikeluarkan oleh kerongkong manusia atau binatang seperti burung. Semuanya adalah bunyi. Cuma yang berbeza ialah suasana dan tujuan. Muzik biasanya digunakan untuk berhibur dan biasa digunakan dalam bentuk yang melanggar hukum dan batas-batas Allah SWT. Irama-irama yang dihasilkan oleh manusia juga haram hukumnya sekiranya digunakan pada tujuan, suasana dan keadaan yang merempuh sempadan syariat. Begitulah juga halnya dengan alat seumpama duf yang menjadi ittifaq ulamak keharusannya, sekiranya digunakan untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syara’, ia juga menjadi haram.

3. Di zaman kini, penggunaan muzik begitu berleluasa. Muzik digunakan dalam media-media massa elektronik. Di TV, muzik digunakan untuk rancangan-rancangan yang berfaedah dan tidak berfaedah. Begitu juga dengan radio. Di sini kita dapati penggunaan muzik telah berubah daripada zaman dahulu. ‘Uruf dan adat telah bertukar sebagaimana kata Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Al-Mufassal. Oleh kerana perkembangan dunia seni yang begitu pesat, muzik kini tidak lagi menjadi syiar kepada majlis-majlis arak, ahli fasiq dan maksiat semata-mata. Misalnya apabila kita mendengar muzik di dalam rancangan berita atau muzik yang digunakan untuk pemindahan daripada satu rancangan kepada rancangan yang lain, adakah ia mengingatkan kita kepada majlis-majlis arak atau majlis-majlis ahli fasiq dan maksiat? Sudah tentu jawapannya tidak. Malah muzik di zaman kini berfungsi mengikut tujuan dan suasana ia digunakan. Kerana itu penulis berpendapat penggunaan muzik di zaman kini adalah harus tetapi mestilah meraikan syarat-syarat berikut:


i. Niat pengguna dan pendengar hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-Umur Bimaqasidiha iaitu sesuatu urusan adalah berdasarkan maksudnya

ii. Tujuan dan suasana penggunaan muzik tidak melanggar batas-batas Allah SWT. Iaitu mestilah digunakan pada tujuan-tujuan yang mulia.

iii. Mengelak daripada menyerupai golongan fasiq, maksiat dan kufur iaitu menjaga adab-adab Islam dalam penggunaan muzik. Tidak boleh menggunakan muzik-muzik tertentu yang hanya digunakan oleh golongan fasiq dan fasad seperti rentak rock dan yang seumpama dengannya. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, ia seperti tergolong dalam kaum tersebut”



PENUTUP

Di abad ini, Islam dicabar daripada berbagai-bagai sudut. Musuh menggunakan segala-galanya untuk menghancurkan Islam. Mereka mengetahui umat Islam mudah leka apabila diberikan kemewahan dan hiburan. Lantas mereka menggunakan tamadun kebendaan mereka dengan mengembangkan bidang seni bagi melalaikan umat dan terus menidurkan mereka. Natijahnya umat leka daripada sumber kekuatan mereka iaitu Al-Quran. Umat Islam di masa kini lebih gemar dan khusyuk mendengar lagu-lagu dendangan manusia daripada alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim.

Dengan perbincangan ringkas yang dicoret di dalam helaian-helaian ini, penulis berharap risalah ini mampu memberikan gambaran ringkas hukum penggunaan muzik yang kini berleluasa dalam kehidupan dunia moden. Berjumpa lagi di keluaran lain! Sekian.





[Watanuki Kimihiro]

No comments: